Monday, September 26, 2016

Volkswagen Kuning (2016), Filem Seram Melayu Yang Harus Dibanggakan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Sebelum ini, telah banyak filem genre seram melayu yang telah pun ditayangkan di pawagam. Kebanyakan filem seram tersebut, hanya beberapa filem sahaja yang mempunyai jalan cerita yang sempurna dan tidak mengecewakan peminatnya. Kita semua sedia maklum bahawa kebanyakan filem seram melayu yang ditayangkan di pawagam kurang mendapat sambutan disebabkan persepsi orang kita yang telah pun menetapkan ‘star rating’ terlebih awal kepada filem seram melayu yang terdahulu.



Apa Bezanya Filem Volkswagen Kuning Dengan Filem Seram Yang Lain?

Jujur Achik katakan, sebelum Achik menonton filem Volkswagen Kuning ini macam-macam perkara yang bermain di fikiran Achik. Adakah hantunya menyeram? Adakah jalan ceritanya akan menghantui kehidupan Achik? Adakah kisah Volkswagen Kuning ni benar-benar wujud? Adakah babak-babak dalam filem ini terlalu menyeramkan?

Selepas menonton Volkwagen Kuning, akhirnya persoalan-persoalan di atas terjawab sudah. Ternyata filem Volkswagen Kuning jauh berbeza dengan filem seram melayu yang lain. Malah kualiti filem Volkswagen Kuning ini jauh lebih baik dari filem seram melayu yang lain. Filem yang diarahkan oleh pengarah muda (Shadan Hashim) ini diinspirasikan dari kisah benar yang telah diolah semula bagi mencantikkan plot penceritaannya. Sungguh pun ianya telah diolah semula dengan menyelitkan pelbagai elemen, tetapi jalan ceritanya tidak tergantung malah susun atur plot penceritaannya sangat teratur.

Oh ye...sungguh pun Volkswagen Kuning ini merupakan filem seram, tetapi tiada kemunculan watak hantu-hantu melayu dalam filem ini sepertimana yang korang jangkakan. Jadi tak perlulah korang nak tutup muka tu sepanjang menonton filem Volkswagen Kuning ini. Walau tiada kemunculan watak hantu dengan muka hodoh, tetapi jalan ceritanya tetap mendebarkan dan mencemaskan para penonton.

Cumanya sehingga kini, Achik masih tertanya-tanya adakah hantu Volkswagen Kuning ini masih lagi muncul di Lebuhraya Karak mahupun Lebuhraya Utara Selatan ?



Pemilihan Pelakon Yang Tepat !

Bagi Achik pemilihan para pelakon untuk memainkan watak dan peranan dalam filem Volkswagen Kuning ini sangat tepat! Malah skrip yang dituturkan oleh setiap pelakon juga tersusun dan sampai maksudnya. Achik percaya, Pekin Ibrahim (memegang watak sebagai Fuad) yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Filem Terbaik Lelaki – FFM28 tidak akan sewenang-wenangnya bersetuju untuk menggalas tugas sebagai peneraju utama sekiranya skrip dan plot penceritaan sesuatu filem itu tidak kuat dan tidak berkualiti.


Digandingkan dengan Atikah Suhaime, ada peningkatan pada prestasi lakonan Atikah Suhaime dalam filem Volkswagen Kuning ini. Atikah berjaya membawa watak Sarah dan tidak kelihatan kaku dalam lakonannya.

Watak Pak Ayob yang dilakonkan oleh Azman Hasan sememangnya sangat menghiburkan dan berjaya mencuit hati para penonton. Setiap kali scene Pak Ayob ni muncul, para penonton pasti akan tertawa dengan keseriusan muka Pak Ayob menuturkan skripnya..Heran juga Achik dibuatnya....Mungkin ada kisah lucu yang terjadi semasa di lokasi penggambaran filem ini yang membuatkan mereka ketawa setiap kali babak Pak Ayob muncul...Siapa tahu kan.



Berbaloi ke Menonton Filem Volkswagen Kuning?

Secara keseluruhannya, filem arahan Shadan Hashim ini memang berbaloi untuk ditonton. Ianya bukan sekadar filem seram kosong yang tiada mesej, tetapi banyak mesej dan elemen pengajaran yang hendak disampaikan dalam filem ini.

Jadi, dah tiba masanya untuk korang keluar beri sokongan pada filem seram melayu arahan Shadan Hashim ini. Seorang pengarah muda yang mempunyai idea-idea yang baru dan segar.

Dari 5 bintang, Achik bagi 3.5 bintang untuk filem ini.



Sinopsis

Mengisahkan sepasang kekasih yang telah pun bertunang, Fuad (Pekin Ibrahim) dan Sarah (Atikah Suhaime) yang telah diganggu oleh hantu Volkswagen Kuning semasa dalam perjalanan untuk pulang ke kampung Fuad.

Apakah sebenarnya motif Volkswagen Kuning ini muncul dijalan raya dan mengganggu mereka berdua? Jawapannya ada dalam filem Volkswagen Kuning telah pun mula ditayangkan di pawagam pada 22 September 2016.

"Di Kala Malam Menjelma, Dendam Kesumat Membara"


Official Trailer


~ Achik ~

No comments:

Post a comment