Friday, March 25, 2016

Teater Muzikal Randai Cindua Mato dari Pagar Ruyung ke Istana Budaya

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Semalam telah berlangsung Media preview bagi pementesan Teater Muzikal Randai Cindua Mato bertempat di Panggung Sari Istana Budaya.

Permulaan teater telah diserikan dengan tarian Randai

Permulaan tahun 2016, Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Istana Budaya mempertaruhkan Teater Muzikal Randai yang disuntik elemen muzikal.

Pementasan Teater Muzikal Randai Cindua Mato ini akan membabitkan beberapa artis terkenal tanahair iaitu Remy Ishak, Vanidah Imran, Azhan Rani, Ashraf Muslim, Puteri Aishah Sulaiman, YBhg. Dato' Jalaludin Hasan, YBhg. Dato' Ahmad Tamimi Serigar, Ebby Yus dan ramai lagi.

Barisan watak yang terlibat dalam Cindua Mato

Menurut YBhg. Datuk Norliza Rofli, Ketua Pengarah JKKN, pementasan teater muzikal randai ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan kelangsungan kesenian Randai yang merupakan warisan masyarakat Minang. Ianya juga bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan apresiasi masyarakat terhadap kesenian klasik yang autentik dan kaya dengan nilai seni dan moral.

Antara gerak Randai yang dipersembahkan

Untuk pengetahuan korang, Randai ialah kesenian tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Minangkabau yang berasal daripada Sumatera Barat dan ianya turut berkembang ke seluruh pelusuk alam Melayu di nusantara. Randai juga merupakan salah satu teater tradisional yang menggabungkan elemen pencak silat, teater, tari, muzik, saster dan falsafah adat resam yang tinggi nilai artistiknya.

Kekuatan randai adalah melangkaui sempadan geografi kerana ia berkembang dalam rumpun masyarakat Melayu berketurunan Minang di Malaysia dan seluruh nusantara khasnya. Perjalanan naskah "Cindua Mato" yang merupakan cerita rakyat dan pahlawan lagenda di Tanah Minang khususnya di Pagar Ruyung, Sumatera Barat telah mendapat restu dari waris Allahyarhan Wisran Hadi yang merupakan penulis skrip asal naskah "Cindua Mato".


Untuk tujuan pementasan teatar muzikal radikal Cindua Mato ini, Remy Ishak telah memainkan peranan sebagai Cindua Mato yang merupakan pahlawan yang sakti serta gagah berani memperjuangkan cinta, maruah serta kedaulatan Kerajaan Pagar Ruyung pada waktu itu.

Sungguhpun pementasan teater muzikal randai ini mendapat sentuhan moden dengan adunan muzikal, namun pementasannya masih mengekalkan struktur asal dalam persembahan randai, contohnya gelombang (bulatan), kaba (unsur penceritaan), dendang (lirik lagu / berlagu) dan juga kostum yang melambangkan status sosial mengikut watak di samping aspek watak, nyanyian, gerak pencak serta gaya bahasa. Untuk tujuan pementasan, dialek Minang digunakan memandangkan ianya mudah difahami khususnya di Malaysia.

Keseluruhan pelakon / artis yang terlibat dalam pementasan teater muzikal randai Cindua Mato

Muzikal Randai yang berasaskan bahasa da loghat harian masyarakat Minang ini diarahkan oleh Lokman Ghani dari Istana Budaya. Dr. Indra Utama yang merupakan pakar rujuk dan pensyarah tari di Universiti Malaya bertindak sebagai koreografer serta dibantu oleh 4 orang koreografer Kumpulan Kesenian JKKN iaitu Siti Suhailah Taman, Amran Nunet, Zaidi Karim dan Nik Azwadi.

Muzikal ini turut mendapat sentuhan artistik daripada Hazize San dari Istana Budaya serta Dato' Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) turut terlibat sebagai Pengarah Muzik yang memberi sentuhan dalam garapan muzik Minang yang authentic untuk disesuaikan dengan pementasan muzikal di Istana Budaya.

Seramai 40 orang artis budaya dan pemuzik terlibat dalam pementasan teater muzikal randai ini yang melibatkan gabungan Kumpulan Kesenian JKKN Negeri Sembilan, Ibu Pejabat dan Wilayah Persekutuan KL serta pemuzik tradisional yang terdiri daripada gabungan pemuzik Istana Budaya dan Kumpulan Keseniaan JKKN.


Selain itu, 15 orang pesilat dari Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi, Malaysia serta Kumpulan Kebudayaan dan Kesenian Kampung Gagu, Jelebu Negeri Sembilan turut memeriahkan lagi pementasan ini.

Remy Ishak yang memegang watak Cindua Mato & Vanidah Imran sebagai Bundo Kanduang

Ashraf Muslim sebagai Rajo Mudo & Puteri Aishah sebagai Puti Bungsu

Dato' Jalaluddin Hassan sebagai Rajo Tiang Bungkuak

Tiket bagi menyaksikan persembahan Randai ini dijual bermula dari RM25, RM55 dan RM85. Tiket boleh dibeli secara online di www.airasiaredtix.com atau dengan membelinya di kaunter tiket box office Istana Budaya.

Pementasan Teater Muzikal Randai Cindua Mato ini akan dipentaskan selama 3 hari bermula 25 Mac hingga 27 Mac 2016.

~ Achik ~






2 comments:

  1. Never been to this kind of shows before, but this looks really interesting... thanks ya!

    ReplyDelete
    Replies
    1. yeah...should try once..love to see the props on stage.

      Delete