Saturday, October 01, 2016

Konvoi Kembara Media Menyingkap Kejayaan FELCRA Sepanjang 50 Tahun

Assamualaikum dan salam sejahtera.

Telah berlangsung dengan jayanya Konvoi Kembara Media 50 Tahun FELCRA sempena Sambutan 50 Tahun FELCRA Berhad. Konvoi Kembara Media 50 Tahun FELCRA  yang telah berlangsung pada 23 – 24 September 2016 mendapat penyertaan yang sangat memberangsangkan daripada para media dan blogger khususnya para blogger dari komuniti Hai Blogger!. Semua media dan blogger yang terlibat telah dibawa ke beberapa lokasi di sekitar Perak bagi melihat sendiri kejayaan dan kemajuan perkampungan serta industri pertanian di bawah FELCRA.

Setelah 50 tahun penubuhan FELCRA ini, Achik pasti masih ramai lagi yang kurang arif dalam membezakan fungsi FELCRA dan FELDA. Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan yang lebih sinonim dengan nama FELCRA ini telah ditubuhkan pada 1966 dengan tujuan membangunkan sektor luar bandar termasuklah membantu penduduk-penduduk di luar bandar menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi negara dalam meningkatkan taraf hidup mereka.

Baca lanjut : Visi &Misi FELCRA    /     Visi & Misi FELDA


Kemajuan Perkampungan FELCRA Lekir

Perkampungan FELCRA Lekir atau kini telah dikenali sebagai Kampung Amanjaya merupakan destinasi pertama yang dituju oleh Konvoi Kembara Media 50 Tahun FELCRA. Ketibaan para media dan blogger telah disambut dengan cukup meriah. Malah, kami turut disajikan dengan makanan yang enak serta buah-buahan tempatan hasil tanaman peserta-peserta FELCRA. Wakil peserta FELCRA Lekir selaku peneroka terawal di situ diberi peluang berkongsi tentang sejarah pembangunan dan kemajuan FELCRA Lekir. Tersentuh hati Achik apabila mereka turut berkongsi tentang elaun peneroka yang diterima pada ketika itu serendah 50 sen sehari. Kini, walau pun mereka adalah peneroka FELCRA tetapi siapa sangka harta dan kemewahan yang mereka miliki mungkin lebih baik daripada kita yang bekerja dan tinggal di bandar.

para media & blogger bersama generasi FELCRA Lekir

Pengalaman yang paling menyeronokkan di sini apabila kami dibawa jalan-jalan di sekitar FELCRA Lekir dengan menaiki traktor berhias. Sepanjang berada di atas traktor, banyak cerita-cerita menarik yang telah dikongsikan oleh En. Hamzah tentang FELCRA Lekir.

lawatan kelilingi perkampungan FELCRA Lekir menaiki traktor

Aktiviti hari pertama Konvoi Kembara Media 50 Tahun FELCRA berakhir dengan Networking Dinner Bersama Media bertempat di Swiss Garden Damai Laut Resort. Turut hadir bersama memeriahkan majlis makan malam ini ialah Pengerusi FELCRA, YB Datuk Bung Mokhtar Radin.


Teknologi Canggih Penanaman Padi di FELCRA

Hari kedua Konvoi Kembara Media 50 Tahun FELCRA diteruskan ke destinasi seterusnya. Kami semua telah dibawa ke Pusat Benih Padi FELCRA Plantations Services Sdn Bhd yang terletak di Seberang Perak. Luas juga kawasan sawah padi di Seberang Perak ini dan ianya adalah milik peserta FELCRA !


Selari dengan arus pemodenan industri pertanian pada masa kini, teknologi yang digunakan oleh FELCRA juga tidak kurang hebatnya. Teknologi transplanter digunakan oleh FELCRA untuk menanam padi. Jarak antara setiap benih padi boleh ditetapkan pada jentera transplanter ini. Lagi satu, jentera transplanter ni boleh tanam sehingga 3000 ekar benih padi dalam masa sehari. Kami tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menimba pengalaman menanam padi menggunakan jentera transplanter. Achik turut diberi peluang mengemudi jentera transplanter dan dari situ Achik nampak betapa majunya industri pertanian zaman sekarang. Tidak seperti zaman nenek moyang kita satu ketika dahulu. Oh ye, benih padi yang digunakan pula disemai menggunakan teknik cruiser. Apabila cukup harinya, barulah benih padi tersebut boleh ditanam menggunakan transplanter.


Kredit gambar Felcra Berhad

ELA Gyrocopter juga merupakan satu lagi teknologi yang seharusnya dibanggakan. Di Malaysia, hanya FELCRA sahaja yang menggunakan Gyrocopter ini dalam industri pertanian. Mampu terbang serendah 2 meter dari permukaan tanah, Gyrocopter ini digunakan untuk menyembur racun dan baja. Seperti helikopter mahu pun kapal terbang, Gyrocopter ni pun dipandu oleh pilot yang bertauliah dan beliau merupakan anak kepada peserta FELCRA !

Pilot yang merupakan anak kepada peserta FELCRA



Pencapaian Koperasi Peserta FELCRA Seberang Perak Setaraf Syarikat Sdn Bhd

Selesai tanam padi, kami semua dibawa ke perkampungan FELCRA Seberang Perak. Cukup teruja melihat kemajuan dalam FELCRA Seberang Perak ini. Masuk sahaja pintu gerbang, boleh nampak kawasan COOP Business Centre FELCRA Seberang Perak yang ada macam-macam kemudahan antaranya stesen minyak Shell yang besar, Bengkel Kejenteraan, Coop Mart, Bangunan Pejabat, Dataran Koperasi, Bangunan Coop Hardware & Input Pertanian, Stor Sub DC / Coop Mart, Coop Cafe dan lain-lain.

Coop Mart yang terdapat di COOP Business Centre Perkampungan FELCRA Seberang Perak

Koperasi Peserta FELCRA Seberang Perak ni bukan calang-calang koperasi tau. Banyak pengiktirafan yang telah diterima daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah (KKLW), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK).

Baca lanjut : Anugerah terkini 2007-2012

Prestasi urusniaga untuk tempoh 5 tahun pun sangat membanggakan. Untung Bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 adalah RM3.361 juta ! Manakala peratusan agihan dividen kepada anggota koperasi meningkat sebanyak 7% berbanding tahun 2010. Bertuahnya peserta-peserta FELCRA Seberang Perak ni.

Baca lanjut : Aktiviti Perniagaan Koperasi Peserta FELCRA Seberang Perak


Peluang Buat Generasi Kedua dan Ketiga

Bertuahnya siapa yang jadi anak kepada peserta FELCRA ini. FELCRA sentiasa memikirkan inisiatif baru untuk memberi peluang buat generasi kedua dan ketiga FELCRA ini sama-sama memperoleh manfaat dalam usaha pembangunan FELCRA. Perumahan Generasi Kedua yang dibangunkan oleh FELCRA bagi memastikan anak-anak peserta FELCRA ini mampu memiliki rumah sendiri. Sebanyak 4 jenis rumah ditawarkan. Harga yang ditawarkan sangatlah murah berbanding dengan harga pasaran rumah pada masa kini. Rumah jenis sebuah-sebuah dengan laman yang luas. Boleh main kejar-kejar tau.

Lawatan ke rumah contoh perumahan Generasi Kedua

Selain rumah generasi kedua, sempena sambutan ke 50 Tahun, FELCRA telah menandatangani kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membangunkan lebih ramai usahawan di kalangan generasi kedua FELCRA. Manakala, anak-anak generasi ketiga pula akan memperoleh masa depan yang cerah apabila diberi keutamaan untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Seronok tau belajar di MRSM. Achik pun merupakan salah seorang pelajar MRSM juga.

Banyak sebenarnya ilmu baru yang Achik pelajari sepanjang 2 hari Konvoi Kembara Media 50 Tahun FELCRA. Melalui konvoi ini sedikit sebanyak telah membuka mata kami bahawa industri pertanian banyak membantu dalam membangunkan ekonomi negara. Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA dalam ucapannya berulang kali mengingatkan agar kesemua peserta FELCRA atau siapa sahaja yang memiliki tanah pertanian agar tidak menjual tanah mereka untuk projek pembangunan yang lain. 

Penutup Konvoi Kembara Media 50 Tahun FELCRA. Blogger dari komunuti Hai Blogger! yang turut serta

~ Achik ~

Lagi gambar sepanjang Konvoi Kembara Media 50 Tahun FELCRA






No comments:

Post a Comment